22 Oktober 2009

Anjuran Bersedekah Ketika Kita Bertaubat




Kisah Ka'ab Bin Malik yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

" Aku (Ka'ab Bin Malik) berkata; Wahai Rasulullah SAW , sesungguhnya bahagian daripada taubatku adalah aku bebaskan hartaku sebagai sedekah kepada Allah azza wajal dan RasulNya, jawab Rasulullah SAW , sisakan sebahagian hartamu itu lebih baik bagimu. "

(Hadith riwayat Imam Bukhari, No. 4418 dan Imam Muslim, No. 2769)


Komentar Ibn Qayyim - Ucapan Ka'ab Bin Malik itu adalah dalil dianjurkan bersedekah ketika bertaubat dengan apa yang kita mampu.
(Rujuk : Zad Al-Ma'ad)

Komentar Al-Hafiz Ibn Hajar - Faedah daripada kisah ini adalah anjuran bersedekah ketika bertaubat.
(Rujuk : Fath Al-Bari)


Saya mengajak diri saya dan sahabat sekalian untuk kita bersegera bertaubat kepada Allah azza wajal daripada sekecil-kecil dosa sehingga sebesar-besar dosa yang mungkin kita tidak sedari dengan memperbanyakkan sedekah.
_________________

16 September 2009

Indahnya Ramadhan



Bulan ramadhan mempunyai keindahannya yang tersendiri. Keindahan bulan ramadhan hanya boleh dikecapi oleh insan yang berusaha mencari keindahan tersebut. Untuk mencari keindahan-keindahan yang ada di dalam bulan ramadhan mestilah disulam dengan kesungguhan melakukan ibadat puasa. Hanya di bulan ramadhan ibadat puasa wajib dilaksanakan dan semestinya mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Ibadat puasa juga merupakan salah satu daripada rukun-rukun Islam.

Keindahan bulan ramadhan akan muncul pada diri insan yang bertaqwa iaitu takutkan Allah azza wajal. Takut dalam erti kata bersungguh melakukan perintahNya dan bersungguh dalam meningggalkan laranganNya. Dengan ketaqwaanlah seseorang insan itu akan terus dan terus mengejar fadhilat atau kelebihan yang Allah azza wajal sajikan pada bulan ramadhan. Semua insan sedar akan kelebihan bulan ramadhan tapi sayang seribu kali sayang, kesedaran ini tidak diterjemahkan dalam amalan.


Malam Al-Qadr

Malam Al-Qadr adalah ganjaran hebat yang Allah azza wajal hidangkan bagi insan yang cintakanNya. Pada malam ini, Allah azza wajal menurunkan malaikat-malaikat serta melabuhkan keberkatan kepada insan-insan yang sedang khusyuk beribadat kepadaNya. Kemuliaan bulan ini adalah lebih baik daripada seribu bulan. Benarlah janji Allah azza wajal, sebagaimana yang difirmankan didalam Surah Al-Qadr ayat 1 hingga 5 ;

" Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Al-Qadr (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam Al-Qadr (kemuliaan itu). Malam Al-Qadr (kemuliaan) itu lebih baik daripada seribu bulan. Diturunkan malaikat-malaikat dan Ruh dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Kesejahteraan pada malam itu sehingga terbit fajar "

Sungguh beruntung bagi mereka yang dapat merasai malam Al-Qadr. Ketenangan serta kedamaian beribadat pada malam ini pasti mencambahkan rasa cinta kepada Allah azza wajal. Alangkah indahnya berada di sini keberkatan Allah azza wajal pada malam Al-Qadr serta untuk digambarkan dengan kata-kata.


Penurunan Al-Quran

Pada bulan ramadhan juga Allah azza wajal menurunkan Al-Quran sebagai panduan untuk umat manusia. Dengan jelas, ayat pertama Surah Al-Qadr menceritakan peristiwa penurunan Al-Quran pada malam Al-Qadr iaitu malam kemuliaan pada bulan ramadhan.

Benarkah penurunan Al-Quran jatuh pada tarikh 17 ramadhan sebagaimana yang diketahui umum?
Hal ini bila dikaji dengan sumber yang sahih adalah tidak tepat. Penentuan 17 ramadhan sebagai pemulaan turunnya wahyu kepada Rasulullah SAW adalah berdasarkan riwayat daripada Al-Waqidi (Muhammad Bin Umar Bin Waqid al-Aslami). Mengikut ulama Al-Jarh wa Al-Ta’dil, Al-Waqidi merupakan seorang perawi lemah dan tidak diterima periwayatannya (Rujuk Al-Khatib Al-Baghdadi, Tarikh Baghdad. Muhammad Bin Ahmad Bin Uthman Al-Zahabi, Siyar A’lam Al-Nubala’. Ibn Abi Hatim, Al-Jarh wa Al-Ta’dil).

Berbahasan mengenai tarikh penurunan Al-Quran ini telah dikupas dengan ilmiah oleh Dr. Ahmad Najib Abdullah iaitu pensyarah Universiti Malaya, Nilam Puri. Menurut beliau tarikh yang tepat berdasarkan sumber yang sahih mengenai tarikh penurunan Al-Quran adalah pada tanggal 24 ramadhan berdasarkan hadis sahih riwayat daripada Wathilah Bin Al-Asqa’. As-Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani juga memilih tarikh 24 ramadhan sebagai tarikh permulaan penurunan Al-Quran berdasar hadis sahih riwayat daripada Wathilah Bin Al-Asqa’. Kesimpulannya, tarikh yang tepat dan sahih permulaan penurunan Al-Quran adalah pada 24 ramadhan, juga terdapat di dalam kitab tafsir yang muktabar karangan Imam Al-Hafiz Ibn Kathir, Imam At-Thabari dan Imam Qurtubi.


Ganjaran keampunan

Ibadat puasa yang dilakukan dengan mengikut petunjuk Rasulullah SAW pastinya memberi kesan yang maksimum. Allah azza wajal juga memberi jaminan keampunan dosa bagi orang yang berpuasa. Sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ;

" Sesiapa yang berpuasa pada Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan, diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu "


Dibuka pintu Syurga dan ditutup pintu Neraka serta dibelenggu syaitan

Apabila tiba bulan ramadhan maka Allah azza wajal akan membuka pintu Syurga dan menutup pintu Neraka untuk memberi rahmatNya di bulan ramadhan. Peluang yang diberikan oleh Allah azza wajal ini tidak patut sama sekali disia-siakan oleh setiap manusia. Disaat ini jugalah Allah azza wajal akan membelenggu syaitan yang sering menyesatkan manusia. Tidak lagi kedengaran bisikan serta ajakan syaitan untuk melakukan kemaksiatan. Inilah peluang untuk kita melakukan ibadah disetiap detik bulan ramadhan tanpa gangguan syaitan.

Hal di atas telah diceritakan oleh Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim ;

" Apabila tiba bulan ramadhan akan dibuka pintu Syurga dan ditutup pintu Neraka serta akan dibelenggu syaitan "


Ganjaran puasa dibalas Khas

Ganjaran orang yang melakukan ibadat puasa akan dibalas khas oleh Allah azza wajal tidak seperti ibadat-ibadat yang lain. Sudah semestinya ibadat puasa mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Imam Bukhari dan Imam Muslim telah meriwayatkan hadis ;

" Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa, puasa adalah untuk Aku, dan Aku yang akan memberi ganjaran untuknya "


Dua kegembiraan

Bagi orang yang melakukan ibadat puasa akan mendapat dua kegembiraan. Kegembiraan pertama dapat merasai nikmat ketika berbuka puasa. Di saat inilah kita dapat merasakan betapa bernilainya rezeki yang Allah azza wajal kurniakan walau pun seteguk air.

Kegembiraan kedua adalah disaat kita bertemu dengan Allah azza wajal nanti. Ketika itu kita akan bergembira bertemu Allah azza wajal bersama ibadat puasa yang telah kita lakukan. Hal ini telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim ;

" Dua kegembiraan yang dia akan bergembira dengan kedua-duanya, apabila dia berbuka puasa dia akan bergembira dan apabila dia bertemu dengan Tuhannya dia bergembira dengan puasanya "

Semoga keindahan-keindahan yang ada pada bulan ramadhan dapat kita rasai dan menambahkan lagi ketaqwaan kita melalui ibadat puasa yang dilaksanakan. Sebagaiman Firman Allah azza dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 183 ;

" Wahai orang-orang yang berimam, diwajibkan ke atas kamu semua berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan kepada orang-orang yang sebelum daripada kamu, mudah-mudahan kamu semua bertaqwa "

19 Ogos 2009

Jom Solat Dhuha



Kelebihan solat dhuha

Solat dhuha merupakan salah satu daripada solat-solat sunat yang amat dituntut. Hukum mengerjakan solat dhuha adalah sunat muakkad(1). Imam Nawawi juga berpendapat hukum solat dhuha adalah sunat muakkad melalui hadis-hadis sahih yang telah sampai kepada kita(2).

Daripada Abu Darda, Rasulullah SAW menganjurkan supaya berpuasa tiga hari di setiap bulan, melakukan solat dhuha dan mengerjakan solat witir sebelum tidur(3).

Banyak kelebihan solat sunat dhuha yang telah diceritakan melalui hadis-hadis sahih. Di antaranya hadis daripada Abu Dzar yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda; setiap sendi kalian mesti bersedekah, setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kepada yang baik adalah sedekah serta melarang kepada keburukan adalah sedekah dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat dhuha(4).


Waktu solat dhuha

Waktu solat dhuha adalah bermula naiknya matahari kira-kira setinggi tombak sehingga sebelum berhentinya matahari dipertengahan langit iaitu sebelum zawal(5). Waktu yang lebih afdhal adalah ketika panas terik(6). Hal ini berdasarkan kepada hadis daripada Zaid Bin Arqam Rasulullah SAW bersabda; solat orang yang banyak bertaubat (awwabin) adalah ketika anak unta merasa kepanasan(7).


Jumlah rakaat solat dhuha

Yang sahih, tidak terdapat batasan jumlah rakaat dalam solat dhuha(8). Hal ini berdasarkan hadis daripada Isteri Rasulullah SAW iaitu Aisyah menceritakan perihal solat dhuha Rasulullah SAW ; Rasulullah SAW biasa mengerjakan solat dhuha empat rakaat dan baginda menambahnya sesuai dengan kehendak Allah Taala(9). Rasulullah SAW pernah melakukan solat dhuha dua rakaat, hal ini diceritakan dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Rasulullah SAW juga pernah melakukan enam rakaat sebagaimana yang diceritakan oleh Jabir yang diriwayatkan oleh Tabarani di dalam Al-Ausath, No. 1066 serta hadis ini turut dinilai sahih oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani.


Nota Kaki :

(1) Majmu’ Fatawa Al-Imam Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz, jld. xi, hlm. 399.
(2) Syarah An-Nawawi ‘Ala Sahih Imam Muslim, jld. V, hlmn. 237.
(3) Hadis riwayat Imam Muslim No. 722.
(4) Hadis riwayat Imam Muslim No. 720.
(5) Panduan Solat Sunah & Solat Khusus, menyempurnakan yang wajib dengan yang sunnah(Edisi Indonesia) oleh Dr. Said Bin Ali Bin Wahaf Al-Qahthani, hlmn. 87.
(6) Majmu’ Fatawa Al-Imam Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz, jld. xi, hlm. 395.
(7) Syarah An-Nawawi ‘Ala Sahih Imam Muslim, jld. vi, hlmn. 276.
(8) Panduan Solat Sunah & Solat Khusus, menyempurnakan yang wajid dengan yang sunah (Edisi Indonesia) oleh Dr. Said Bin Ali Bin Wahaf Al-Qahthani, hlmn. 88.
(9) Hadis riwayat Imam Muslim.

08 Jun 2009

Petua Daripada Sunnah Menghindari Gangguan Syaitan




Permusuhan manusia dengan golongan jin ataupun syaitan secara jelas dan terperinci telah diingatkan oleh Allah azza wajal di dalam Al-Quran. Namun, masih ramai lagi manusia yang memandang sebelah mata terhadap perkara ini. Sikap tamakkan dunia, gilakan pangkat serta leka mengejar harta benda telah membutakan mata hati mereka daripada mengingati Allah azza wajal. semua ini adalah tipu muslihat syaitan terhadap manusia.

Syaitan juga menggangu dengan menyerang masuk ke dalam tubuh badan manusia serta berupaya memudharatkannya dengan izin Allah azza wajal. Semestinya kita wajib mengetahui cara-cara untuk mengelak daripada gangguan syaitan.
Di sini, penulis ingin kongsikan beberapa petua daripada ajaran sunnah di dalam menghindari daripada gangguan syaitan;


1) Membaca Basmalah dalam setiap perkara yang dilakukan

Rasulullah SAW bersabda, "Janganlah menyebut “Celakalah syaitan!” kerana apabila engkau mengatakannya, syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata “Demi kekuatanku!” Sebaliknya sebutlah “Bismillah!” kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil sehingga sekecil lalat"
(Hadis Riwayat Abu Daud serta dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud, No: 4982)


2) Membaca Isti’azah apabila diganggu syaitan

"Dan jika engkau ditimpa ganguan syaitan maka berlindunglah kepada Allah Taala, sesungguhnya Allah Taala maha mendengar lagi maha mengetahui"
(Surah Al-A’raf, ayat ke 200)


3) Membaca Ayat Kursi

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, "syaitan pernah berkata kepadanya, bacalah Ayat Kursi sebelum tidur nescaya Allah Taala mendatangkan penjaga kepadanya dan syaitan tidak dapat mendekatinya sehingga waktu pagi"
(Hadis Riwayat Imam Bukhari, No. 3275)


4) Membaca Surah Al-Baqarah

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Janganlah menjadikan rumah kalian seperti kawasan perkuburan, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya Surah Al-Baqarah"
(Riwayat Imam Muslim, No. 780)


5) Membaca Surah Al-Mu’awizatain

"Rasulullah SAW memohon perlindungan daripada jin dan kejahatan manusia (‘ain) , sehingga diturunkan Surah Al-Mu’awizatain maka Baginda pun mengamalkannya serta meninggalkan bacaan yang lain"
(Hadis Riwayat Nasai, No. 5494 dan Ibn Majah, No. 3511 serta dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Al-Jami’, No. 4902)


6) Membaca dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah iaitu ayat 285 dan ayat 286

Daripada Abu Mas’ud Al-Ansari, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah azza wajal menulis satu kitab yang dianggarkan dua ribu tahun sebelum menciptakan langit dan bumi serta dua ayat daripadanya diturunkan ke bumi sebagai penutup Surah Al-Baqarah, jika kedua-dua ayat itu dibaca selama tiga malam di dalam sebuah rumah pasti syaitan tidak akan mendekatinya"
(Hadis Riwayat Turmuzi, No. 2882 serta dinilai Sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Al-Jami’, No. 1799)


7) Membaca “La ilaha illallahu wahdahu la syarikalah lahul mulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kulli syai in qadir”

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang membaca “La ilaha illallahu wahdahu la syarikalah lahul mulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kulli syai in qadir” sebanyak sertaus kali setiap hari, pahalanya adalah menyamai dengan pahala orang yang memerdekakan sepuluh orang hamba dan ditulis baginya seratus kali ganda kebaikan serta dihapuskan seratus kejahatan dan juga terpelihara daripada godaan syaitan pada hari tersebut hingga ke malamnya dan tidak seorang pun mendapat balasan yang lebih baik daripada apa yang disebutkan ini melainkan memperbanyakkan amalan zikir yang disebutkan ini"
(Hadis Riwayat Imam Bukhari, No. 3119 dan Imam Muslim, No. 2691)


8) Memperbanyakkan amalan zikir kepada Allah Taala

Daripada Al-Harith Al-Asy’ari, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah Taala menyuruh Yahya Bin Zakaria (a.s) mengamalkan lima kalimah dan Bani Israel pun diperintahkan menamalkannya. Oleh itu, aku menyuruh kamu supaya sentiasa berzikir kepada Allah Taala, sesungguhnya perumpamaan orang yang berzikir seperti seseorang lelaki yang dikejar musuh sehingga dia berjaya masuk ke dalam benteng yang kuat, dengan itu dia telah berjaya menyelamatkan dirinya. Begitu juga perumpamaan seseorang yang tidak dapat membentengi dirinya daripada syaitan selain berzikir kepada Allah azza wajal"
(Hadis Riwayat Turmuzi, No. 2863 serta dinilai Sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Al-Jami’, No. 1724)


9) Laungan azan
Abu Hurairah menceritakan daripada Rasulullah SAW, "sesungguhnya apabila laungan azan dikumandangkan maka syaitan akan melarikan diri dengan pantas"
(Hadis Riwayat Imam Muslim, No. 389)

Petua yang paling utama untuk menghindari daripada gangguan syaitan ialah bersungguh-sungguh mentaati segala suruhan Allah Taala serta berusaha sepenuh upaya menjauhi laranganNya.

06 Jun 2009

Mendaki Gunung Kinabalu

Tanggal 5 March 2005, jam 5.55 pagi dengan izin Allah azza wajal penulis berjaya menakluk Gunung Kinabalu yang merupakan gunung tertinggi di Asia Tenggara. Pendakian bermula pada jam 7 pagi, 4 March 2009. Ibarat melalui suatu iklim yang baru apabila menyelusuri jalan-jalan pendakian menuju ke kemuncak Gunung Kinabalu. Amat mengasyikkan menghirup udara yang begitu segar dan nyaman umpama berada di nagara eropah.

Sepanjang pendakian yang dikelilingi oleh keindahan-keindahan alam ciptakan Allah azza wajal menambahkan lagi rasa keagongan kepada ciptaanNya. Ungkas dan serangga serta hidupan gunung seolah menyapa kedatangan penulis. Leka memandang hidupan-hidupan gunung serasa hilang penat mendaki Gunung Kinabalu.


Label papan check point.

Setiap check point berjarak lebih kurang 1 KM disediakan tangki air minuman untuk pendaki serta terdapat juga pondok istirehat. Lebih kurang jam 5 petang sampai di Panalaban lalu penulis berhenti rehat serta menunaikan kewajipan yang lain sebelum menyambung pendakian ke ketinggian kemuncak sebenar.

Setelah berehat menghilangkan sedikit penat, penulis menyambung pendakian ke kemuncak pada jam 2 pagi diiringi hujan renyai-renyai. Pendakian yang penuh mencabar menguji amat menguji kesabaran tetapi ia merupakan satu pengalaman baru yang amat berguna kepada penulis. Alhamdulillah, tepat jam 5.55pagi penulis berjaya sampai ke kemuncak tertinggi Gunung Kinabalu dan terus melakukan solat subuh di atas puncak tersebut.


Ketika berada di kemuncak tertinggi Gunung Kinabalu.


Suasana puncak Gunung Kinabalu.

Dalam perjalanan pulang, hujan renyai-renyai membasahi penulis namun perjalanan pulang tetap diteruskan. Kira-kira jam 6 petang penulis selamat tiba di kem penempatan peserta. Pengalaman yang penulis perolehi dalam pendakian mendaki Gunung Kinabalu amat bermakna. Semoga menambahkan lagi rasa ketaqwaan kepada Allah azza wajal.

04 Jun 2009

Komentar Terhadap Selawat Syifa

Amalan-amalan agama yang direka begitu mudah muncul di dalam masyarakat melayu. Apatah lagi apabila amalan-amalan agama yang direka ini sesuai dengan selera mereka maka pastinya akan mendapat tempat yang utama.

Tidak dapat dinafikan lagi, masyarakat melayu Islam memang mudah menerima sesuatu amalan tanpa ada sikap ingin mengkaji apa lagi hendak menyelidiki. Begitu jugalah dengan amalan selawat syifa yang amat terkenal dan berpengaruh di kalangan masyarakat melayu Islam di Malaysia. Selawat syifa ini dijadikan doa selepas solat, doa penyembuh penyakit, lirik lagu nasyid dan banyak lagi yang diamalkan oleh masyarakat kita.


Alunan selawat syifa


" Ya Allah, selawatkanlah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW, penawar hati dan pengubatnya, penyihat badan dan penyembuhnya, pemberi cahaya penglihatan dan pemancarnya, juga ke atas ahli keluarga dan sahabat serta berkatilah dan sejahterakanlah "

(Rujuk : Prof. Dr. Harun Din & Dr. Amran Kasimin, Rawatan Pesakit Menurut al-Quran dan al-Sunnah, hal. 32)


Komentar

Menurut ilmu tatabahasa bahasa arab, kata gantinama akan kembali kepada nama yang disebut pada bahagian akhir ayat. Dalam struktur ayat selawat syifa, nama Nabi Muhamad SAW telah disebut pada hujung ayat iaitu pada kalimah sayyidina muhammadin.

Maka, kalimah muhammadin berbaris dua bawah pada akhirnya dan lafaz tibbil qulub hingga wadhia iha berbaris bawah kesemuanya. Ini menjelaskan bahawa tibbil qulub sehingga wadhia iha adalah sifat kepada Nabi Muhamad SAW yang boleh mengelirukan maknanya.

Justeru, maksud selawat syifa menerangkan Nabi Muhamad SAW mempunyai kuasa sebagai penawar dan penyembuh kepada hati-hati dan juga menjadikan badan sihat dan juga menyembuhkan penyakit-penyakit serta menjadi cahaya kepada penglihatan mata hati.

Seterusnya, jika ditinjau dari sudut terjemahan yang didasarkan kepada kedudukan i'rab, kita dapati seolah-olah ayat di atas telah menyifatkan Nabi Muhammad SAW dengan sifat maha perawat, maha pengubat, maha penyihat, maha penyembuh, maha pemberi cahaya, dan maha pemancar cahaya. Persoalannya yang timbul di fikiran kita. Adakah dibolehkan menyifatkan Nabi Muhammad SAW dengan sifat yang sedemikian? sedangkan sifat itu merupakan sifat-sifat khusus bagi Allah Taala yang tidak boleh dikongsi oleh makhluk. Apakah alasan yang mewajarkan penyifatan Nabi Muhammad SAW dengan sifat-sifat tersebut? Jawapannya, tidak boleh sama sekali kita menyifatkan Nabi Muhammad SAW atau sesiapa pun dengan sifat-sifat Allah azza wajal.

Prinsip-prinsip dan disiplin ilmu tauhid telah menetapkan bahawa Allah azza wajal itu maha Esa dan wajib diEsakan pada sifat-sifatNya sebagaimana Dia juga wajib diEsakan pada RububiyyahNya dan UluhiyyahNya.
(Rujuk : Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin, Aqidah Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jamaah, Terjemahan oleh Muhamad Yusuf Harun)

Nama-nama dan sifat-sifat yang khusus bagi Allah azza wajal tidak boleh dikongsi dengan makhluk kerana perkongsian itu bermakna mensyirikkan sifat makhluk dengan sifat Allah azza wajal.
(Rujuk : Sa'id Ibn Ali Al-Qahtani, Syarah Asma" Al-Husna fi Dau' Al-Kitab Wa Al-Sunnah, hal. 51)


Kesimpulannya

Kenapa Selawat syifa tidak boleh diamalkan :

1) Tiada petunjuk daripada sunnah mengenainya

2) Mengandungi kekeliruan pada maknanya yang boleh membawa kepada kesyirikan

3) Kepercayaan selawat syifa mendatangkan mujarat jika diamalkan boleh membawa seseorang kepada kesesatan dalam beramal.

Apa lagi yang boleh kita katakan kepada selawat syifa? Jawapannya, selawat syifa mengandungi unsur syirik iaitu syirik lafzi yang mesti kita hindari dari mengalunkannya. Perkara syirik boleh merosakkan akidah seseorang muslim. Selain itu juga selawat syifa tidak pernah diamalkan oleh golongan salafus soleh. Ikutlah sunnah di dalam beramal untuk memperolehi keberkatan dariNya.

Allahu 'Alam Bissowab.

24 Mei 2009

Lahirnya Putera Harapan



Alhamdulillah, segala puji hanya selayaknya untuk Allah azza wajal, pemilik setiap sesuatu. Zuriat yang ditunggu akhirnya telah dikurniakan untuk menambah lagi keceriaan dan tanggungjawab dalam kehidupan.

Firman Allah azza wajal dalam Surah Asy-Syura, ayat ke 49 :

"Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki".

Putera sulung yang dilahirkan oleh isteriku yang tercinta, Fatimah Binti Abdul Rahman pada 10 April 2009 telah dinamakan dengan Mohammad Faqeeh Alhakim Bin Mohd Azrin. Semoga putera kami menjadi seorang yang faqeeh dalam agama dan menjadi harta amat berguna untuk kami.

17 Mac 2009

Kenali Jin



Jin merupakan makhluk ciptaan Allah azza wajal daripada api yang sangat panas manakala manusia pula diciptakan daripada tanah. Hal ini telah diterangkan dalam Al-Quran.


" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada tanah liat kering yang berasal daripada lumpur hitam yang diberi bentuk dan Kami telah menciptakan jin sebelum manusia (Nabi Adam a.s) dari api yang sangat panas."

Surah Al-Hijr, ayat 26 & 27.


" Dia (Allah azza wajal) menciptakan manusia daripada tanah kering seperti tembikar dan Dia (Allah azza wajal) menciptakan jin daripada nyalaan api."

Surah Ar-Rahman, ayat 14 & 15.


" Allah azza wajal berfirman, Apakah yang menghalangimu untuk bersujud kepada Adam di waktu Aku menyuruhmu? Iblis menjawab, Saya lebih baik daripadanya, Engkau ciptakan aku daripada api dan Engkau ciptakan dia daripada tanah."

Surah Al-A'raaf, ayat 12.

Mencintai Ilmu Hadith




Semestinya di dalam setiap diri pencinta ilmu agama memiliki sifat amanah di dalam mengambil sesuatu hadith dengan meletakkan riwayatnya. Malangnya hal sedemikian semakin dilupakan dan ditinggalkan. Apa puncanya? tidak lain, wujudnya suatu sikap bermudah-mudahan dan tidak suka mengkaji serta hanya menerima secara membabi buta sahaja sesuatu hadith tersebut. Sikap inilah yang menodai kesucian ilmu hadith. lantas, kita memerlukan suatu anjakan minda dan sikap di dalam memetik sesuatu hadith.

Dewasa ini, makin banyak buku-buku serta artikel yang membicara sesuatu permasalahan tidak menitikberatkan sumber yang sohih. Begitu juga dengan penceramah agama, mencampurgaulkan di antara fakta yang benar dan palsu. Sebagai contoh, bila tiba bulan ramadhan maka banyaklah hadis yang daif disebarkan. Tidak kurang juga hadith palsu yang menceritakan kelebihan setiap solat teraweh berjemaah.

Tidak kurang juga, kitab-kitab yang di ajar di surau dan masjid tidak diselidiki kesohihan hadis di dalamnya. Kitab yang amat masyhur dan sering dikuliahkan di surau atau masjid ialah kitab Tanbih Al-Ghafilin karangan Syeikh Samarqandi (moga Allah Taala mengampunkan dosanya) dan kitab Bustan Al-'Arifin terdapat hadis-hadis palsu serta israiliyyat di dalamnya (Rujuk: Al-Washit Fi 'Ulum Wa Musthalah Al-Hadith karangan Syeikh Muhammad Muhammad Abu Syahbah). Sikap terima tanpa mengkaji banyak mengundang keburukan di dalam beramal. Hakikatnya, sikap inilah yang popular dikalangan umat Islam di Malaysia.

Terdapat juga cerita palsu yang terdapat di dalam kitab Berzanji yang dikarang oleh Jaafar Al-Barzanji (moga Allah Taala mengampunkan dosanya). Kitab ini menceritakan telah hadir Asiah (isteri Firaun) dan Maryam (ibu Nabi Isa) dalam kalangan wanita dari syurga pada malam kelahiran Nabi Muhammad (saw). Jelas, hal sedemikian tidak terdapat hadith sohih ataupun riwayat yang sohih menceritakannya. (Rujuk: menangkis pencemahan terhadap agama serta tokoh-tokohnya oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin)

Jika diselidiki, banyak lagi hadith-hadith daif dan palsu serta fakta-fakta bohong yang masih bertebaran di dalam buku-buku agama di Malaysia. Bertolak dari sinilah kita memerlukan sikap suka mengkaji di dalam sesuatu fakta. Kita juga mesti amanah di dalam memetik sesuatu hadis dengan meletakkan riwayatnya kerana kitalah yang meneruskan sunnah yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad (saw).

05 Mac 2009

Mesir Bumi Anbiyaa'



Masjid Al-Azhar adalah pusat penyebaran ilmu agama yang utama dan hebat di Mesir dari dulu hingga sekarang. Kali pertama bila saya dapat menjejak kaki di sana terasa bagaikan kembali di zaman kegemilangan Islam. Mengingatkan deruan aura serta keberkatan Masjid Al-Azhar menambah lagi rasa kerinduan padanya.

Tapi...kenapa ye, masih ada lagi pencuri, masih ramai yang tak menjaga kebersihan, masih ramai lagi yang tak menyempurnakan kewajipan menutup aurat dan ada juga yang tidak berminat menghadiri kuliah agama di situ. kat mane ye silapnya? rasanya semua dah ok tapi bila ditinjau semula rasa macam ada yang tak ok lagi.

kenapa aku memilih manhaj salaf ?



Lontaran persoalan pertama yang bermain difikiran takkala membuka blog ini bagi mereka yang asing mendengar tentang manhaj salaf. kenapa memilih manhaj salaf ? Jawapan yang mudah saya berikan, sebab saya memilih manhaj salaf adalah kerana ianya merupakan manhaj yang "Benar, Selamat dan Mudah"

Blog yang saya bina ini dihidangkan kepada mereka yang ingin kembali menghayati dan mengamalkan ajaran daripada Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih. Sesungguhnya blog saya ini tidak ditujukan kepada mereka yang terlalu taksub kepada mazhab, golongan sufi atau torikat yang melampau, golongan ghuluw dan golongan pelaku bid'ah secara langsung dan tidak langsung.

Saya mendoakan semoga saya dan anda yang melayari blog ini mendapat manfaat bersama. Kepada Allah azza wajal tempat kita dikembalikan.