08 Jun 2009

Petua Daripada Sunnah Menghindari Gangguan Syaitan




Permusuhan manusia dengan golongan jin ataupun syaitan secara jelas dan terperinci telah diingatkan oleh Allah azza wajal di dalam Al-Quran. Namun, masih ramai lagi manusia yang memandang sebelah mata terhadap perkara ini. Sikap tamakkan dunia, gilakan pangkat serta leka mengejar harta benda telah membutakan mata hati mereka daripada mengingati Allah azza wajal. semua ini adalah tipu muslihat syaitan terhadap manusia.

Syaitan juga menggangu dengan menyerang masuk ke dalam tubuh badan manusia serta berupaya memudharatkannya dengan izin Allah azza wajal. Semestinya kita wajib mengetahui cara-cara untuk mengelak daripada gangguan syaitan.
Di sini, penulis ingin kongsikan beberapa petua daripada ajaran sunnah di dalam menghindari daripada gangguan syaitan;


1) Membaca Basmalah dalam setiap perkara yang dilakukan

Rasulullah SAW bersabda, "Janganlah menyebut “Celakalah syaitan!” kerana apabila engkau mengatakannya, syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata “Demi kekuatanku!” Sebaliknya sebutlah “Bismillah!” kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil sehingga sekecil lalat"
(Hadis Riwayat Abu Daud serta dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud, No: 4982)


2) Membaca Isti’azah apabila diganggu syaitan

"Dan jika engkau ditimpa ganguan syaitan maka berlindunglah kepada Allah Taala, sesungguhnya Allah Taala maha mendengar lagi maha mengetahui"
(Surah Al-A’raf, ayat ke 200)


3) Membaca Ayat Kursi

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, "syaitan pernah berkata kepadanya, bacalah Ayat Kursi sebelum tidur nescaya Allah Taala mendatangkan penjaga kepadanya dan syaitan tidak dapat mendekatinya sehingga waktu pagi"
(Hadis Riwayat Imam Bukhari, No. 3275)


4) Membaca Surah Al-Baqarah

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Janganlah menjadikan rumah kalian seperti kawasan perkuburan, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya Surah Al-Baqarah"
(Riwayat Imam Muslim, No. 780)


5) Membaca Surah Al-Mu’awizatain

"Rasulullah SAW memohon perlindungan daripada jin dan kejahatan manusia (‘ain) , sehingga diturunkan Surah Al-Mu’awizatain maka Baginda pun mengamalkannya serta meninggalkan bacaan yang lain"
(Hadis Riwayat Nasai, No. 5494 dan Ibn Majah, No. 3511 serta dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Al-Jami’, No. 4902)


6) Membaca dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah iaitu ayat 285 dan ayat 286

Daripada Abu Mas’ud Al-Ansari, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah azza wajal menulis satu kitab yang dianggarkan dua ribu tahun sebelum menciptakan langit dan bumi serta dua ayat daripadanya diturunkan ke bumi sebagai penutup Surah Al-Baqarah, jika kedua-dua ayat itu dibaca selama tiga malam di dalam sebuah rumah pasti syaitan tidak akan mendekatinya"
(Hadis Riwayat Turmuzi, No. 2882 serta dinilai Sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Al-Jami’, No. 1799)


7) Membaca “La ilaha illallahu wahdahu la syarikalah lahul mulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kulli syai in qadir”

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang membaca “La ilaha illallahu wahdahu la syarikalah lahul mulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kulli syai in qadir” sebanyak sertaus kali setiap hari, pahalanya adalah menyamai dengan pahala orang yang memerdekakan sepuluh orang hamba dan ditulis baginya seratus kali ganda kebaikan serta dihapuskan seratus kejahatan dan juga terpelihara daripada godaan syaitan pada hari tersebut hingga ke malamnya dan tidak seorang pun mendapat balasan yang lebih baik daripada apa yang disebutkan ini melainkan memperbanyakkan amalan zikir yang disebutkan ini"
(Hadis Riwayat Imam Bukhari, No. 3119 dan Imam Muslim, No. 2691)


8) Memperbanyakkan amalan zikir kepada Allah Taala

Daripada Al-Harith Al-Asy’ari, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah Taala menyuruh Yahya Bin Zakaria (a.s) mengamalkan lima kalimah dan Bani Israel pun diperintahkan menamalkannya. Oleh itu, aku menyuruh kamu supaya sentiasa berzikir kepada Allah Taala, sesungguhnya perumpamaan orang yang berzikir seperti seseorang lelaki yang dikejar musuh sehingga dia berjaya masuk ke dalam benteng yang kuat, dengan itu dia telah berjaya menyelamatkan dirinya. Begitu juga perumpamaan seseorang yang tidak dapat membentengi dirinya daripada syaitan selain berzikir kepada Allah azza wajal"
(Hadis Riwayat Turmuzi, No. 2863 serta dinilai Sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Al-Jami’, No. 1724)


9) Laungan azan
Abu Hurairah menceritakan daripada Rasulullah SAW, "sesungguhnya apabila laungan azan dikumandangkan maka syaitan akan melarikan diri dengan pantas"
(Hadis Riwayat Imam Muslim, No. 389)

Petua yang paling utama untuk menghindari daripada gangguan syaitan ialah bersungguh-sungguh mentaati segala suruhan Allah Taala serta berusaha sepenuh upaya menjauhi laranganNya.

06 Jun 2009

Mendaki Gunung Kinabalu

Tanggal 5 March 2005, jam 5.55 pagi dengan izin Allah azza wajal penulis berjaya menakluk Gunung Kinabalu yang merupakan gunung tertinggi di Asia Tenggara. Pendakian bermula pada jam 7 pagi, 4 March 2009. Ibarat melalui suatu iklim yang baru apabila menyelusuri jalan-jalan pendakian menuju ke kemuncak Gunung Kinabalu. Amat mengasyikkan menghirup udara yang begitu segar dan nyaman umpama berada di nagara eropah.

Sepanjang pendakian yang dikelilingi oleh keindahan-keindahan alam ciptakan Allah azza wajal menambahkan lagi rasa keagongan kepada ciptaanNya. Ungkas dan serangga serta hidupan gunung seolah menyapa kedatangan penulis. Leka memandang hidupan-hidupan gunung serasa hilang penat mendaki Gunung Kinabalu.


Label papan check point.

Setiap check point berjarak lebih kurang 1 KM disediakan tangki air minuman untuk pendaki serta terdapat juga pondok istirehat. Lebih kurang jam 5 petang sampai di Panalaban lalu penulis berhenti rehat serta menunaikan kewajipan yang lain sebelum menyambung pendakian ke ketinggian kemuncak sebenar.

Setelah berehat menghilangkan sedikit penat, penulis menyambung pendakian ke kemuncak pada jam 2 pagi diiringi hujan renyai-renyai. Pendakian yang penuh mencabar menguji amat menguji kesabaran tetapi ia merupakan satu pengalaman baru yang amat berguna kepada penulis. Alhamdulillah, tepat jam 5.55pagi penulis berjaya sampai ke kemuncak tertinggi Gunung Kinabalu dan terus melakukan solat subuh di atas puncak tersebut.


Ketika berada di kemuncak tertinggi Gunung Kinabalu.


Suasana puncak Gunung Kinabalu.

Dalam perjalanan pulang, hujan renyai-renyai membasahi penulis namun perjalanan pulang tetap diteruskan. Kira-kira jam 6 petang penulis selamat tiba di kem penempatan peserta. Pengalaman yang penulis perolehi dalam pendakian mendaki Gunung Kinabalu amat bermakna. Semoga menambahkan lagi rasa ketaqwaan kepada Allah azza wajal.

04 Jun 2009

Komentar Terhadap Selawat Syifa

Amalan-amalan agama yang direka begitu mudah muncul di dalam masyarakat melayu. Apatah lagi apabila amalan-amalan agama yang direka ini sesuai dengan selera mereka maka pastinya akan mendapat tempat yang utama.

Tidak dapat dinafikan lagi, masyarakat melayu Islam memang mudah menerima sesuatu amalan tanpa ada sikap ingin mengkaji apa lagi hendak menyelidiki. Begitu jugalah dengan amalan selawat syifa yang amat terkenal dan berpengaruh di kalangan masyarakat melayu Islam di Malaysia. Selawat syifa ini dijadikan doa selepas solat, doa penyembuh penyakit, lirik lagu nasyid dan banyak lagi yang diamalkan oleh masyarakat kita.


Alunan selawat syifa


" Ya Allah, selawatkanlah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW, penawar hati dan pengubatnya, penyihat badan dan penyembuhnya, pemberi cahaya penglihatan dan pemancarnya, juga ke atas ahli keluarga dan sahabat serta berkatilah dan sejahterakanlah "

(Rujuk : Prof. Dr. Harun Din & Dr. Amran Kasimin, Rawatan Pesakit Menurut al-Quran dan al-Sunnah, hal. 32)


Komentar

Menurut ilmu tatabahasa bahasa arab, kata gantinama akan kembali kepada nama yang disebut pada bahagian akhir ayat. Dalam struktur ayat selawat syifa, nama Nabi Muhamad SAW telah disebut pada hujung ayat iaitu pada kalimah sayyidina muhammadin.

Maka, kalimah muhammadin berbaris dua bawah pada akhirnya dan lafaz tibbil qulub hingga wadhia iha berbaris bawah kesemuanya. Ini menjelaskan bahawa tibbil qulub sehingga wadhia iha adalah sifat kepada Nabi Muhamad SAW yang boleh mengelirukan maknanya.

Justeru, maksud selawat syifa menerangkan Nabi Muhamad SAW mempunyai kuasa sebagai penawar dan penyembuh kepada hati-hati dan juga menjadikan badan sihat dan juga menyembuhkan penyakit-penyakit serta menjadi cahaya kepada penglihatan mata hati.

Seterusnya, jika ditinjau dari sudut terjemahan yang didasarkan kepada kedudukan i'rab, kita dapati seolah-olah ayat di atas telah menyifatkan Nabi Muhammad SAW dengan sifat maha perawat, maha pengubat, maha penyihat, maha penyembuh, maha pemberi cahaya, dan maha pemancar cahaya. Persoalannya yang timbul di fikiran kita. Adakah dibolehkan menyifatkan Nabi Muhammad SAW dengan sifat yang sedemikian? sedangkan sifat itu merupakan sifat-sifat khusus bagi Allah Taala yang tidak boleh dikongsi oleh makhluk. Apakah alasan yang mewajarkan penyifatan Nabi Muhammad SAW dengan sifat-sifat tersebut? Jawapannya, tidak boleh sama sekali kita menyifatkan Nabi Muhammad SAW atau sesiapa pun dengan sifat-sifat Allah azza wajal.

Prinsip-prinsip dan disiplin ilmu tauhid telah menetapkan bahawa Allah azza wajal itu maha Esa dan wajib diEsakan pada sifat-sifatNya sebagaimana Dia juga wajib diEsakan pada RububiyyahNya dan UluhiyyahNya.
(Rujuk : Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin, Aqidah Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jamaah, Terjemahan oleh Muhamad Yusuf Harun)

Nama-nama dan sifat-sifat yang khusus bagi Allah azza wajal tidak boleh dikongsi dengan makhluk kerana perkongsian itu bermakna mensyirikkan sifat makhluk dengan sifat Allah azza wajal.
(Rujuk : Sa'id Ibn Ali Al-Qahtani, Syarah Asma" Al-Husna fi Dau' Al-Kitab Wa Al-Sunnah, hal. 51)


Kesimpulannya

Kenapa Selawat syifa tidak boleh diamalkan :

1) Tiada petunjuk daripada sunnah mengenainya

2) Mengandungi kekeliruan pada maknanya yang boleh membawa kepada kesyirikan

3) Kepercayaan selawat syifa mendatangkan mujarat jika diamalkan boleh membawa seseorang kepada kesesatan dalam beramal.

Apa lagi yang boleh kita katakan kepada selawat syifa? Jawapannya, selawat syifa mengandungi unsur syirik iaitu syirik lafzi yang mesti kita hindari dari mengalunkannya. Perkara syirik boleh merosakkan akidah seseorang muslim. Selain itu juga selawat syifa tidak pernah diamalkan oleh golongan salafus soleh. Ikutlah sunnah di dalam beramal untuk memperolehi keberkatan dariNya.

Allahu 'Alam Bissowab.