04 Jun 2009

Komentar Terhadap Selawat Syifa

Amalan-amalan agama yang direka begitu mudah muncul di dalam masyarakat melayu. Apatah lagi apabila amalan-amalan agama yang direka ini sesuai dengan selera mereka maka pastinya akan mendapat tempat yang utama.

Tidak dapat dinafikan lagi, masyarakat melayu Islam memang mudah menerima sesuatu amalan tanpa ada sikap ingin mengkaji apa lagi hendak menyelidiki. Begitu jugalah dengan amalan selawat syifa yang amat terkenal dan berpengaruh di kalangan masyarakat melayu Islam di Malaysia. Selawat syifa ini dijadikan doa selepas solat, doa penyembuh penyakit, lirik lagu nasyid dan banyak lagi yang diamalkan oleh masyarakat kita.


Alunan selawat syifa


" Ya Allah, selawatkanlah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW, penawar hati dan pengubatnya, penyihat badan dan penyembuhnya, pemberi cahaya penglihatan dan pemancarnya, juga ke atas ahli keluarga dan sahabat serta berkatilah dan sejahterakanlah "

(Rujuk : Prof. Dr. Harun Din & Dr. Amran Kasimin, Rawatan Pesakit Menurut al-Quran dan al-Sunnah, hal. 32)


Komentar

Menurut ilmu tatabahasa bahasa arab, kata gantinama akan kembali kepada nama yang disebut pada bahagian akhir ayat. Dalam struktur ayat selawat syifa, nama Nabi Muhamad SAW telah disebut pada hujung ayat iaitu pada kalimah sayyidina muhammadin.

Maka, kalimah muhammadin berbaris dua bawah pada akhirnya dan lafaz tibbil qulub hingga wadhia iha berbaris bawah kesemuanya. Ini menjelaskan bahawa tibbil qulub sehingga wadhia iha adalah sifat kepada Nabi Muhamad SAW yang boleh mengelirukan maknanya.

Justeru, maksud selawat syifa menerangkan Nabi Muhamad SAW mempunyai kuasa sebagai penawar dan penyembuh kepada hati-hati dan juga menjadikan badan sihat dan juga menyembuhkan penyakit-penyakit serta menjadi cahaya kepada penglihatan mata hati.

Seterusnya, jika ditinjau dari sudut terjemahan yang didasarkan kepada kedudukan i'rab, kita dapati seolah-olah ayat di atas telah menyifatkan Nabi Muhammad SAW dengan sifat maha perawat, maha pengubat, maha penyihat, maha penyembuh, maha pemberi cahaya, dan maha pemancar cahaya. Persoalannya yang timbul di fikiran kita. Adakah dibolehkan menyifatkan Nabi Muhammad SAW dengan sifat yang sedemikian? sedangkan sifat itu merupakan sifat-sifat khusus bagi Allah Taala yang tidak boleh dikongsi oleh makhluk. Apakah alasan yang mewajarkan penyifatan Nabi Muhammad SAW dengan sifat-sifat tersebut? Jawapannya, tidak boleh sama sekali kita menyifatkan Nabi Muhammad SAW atau sesiapa pun dengan sifat-sifat Allah azza wajal.

Prinsip-prinsip dan disiplin ilmu tauhid telah menetapkan bahawa Allah azza wajal itu maha Esa dan wajib diEsakan pada sifat-sifatNya sebagaimana Dia juga wajib diEsakan pada RububiyyahNya dan UluhiyyahNya.
(Rujuk : Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin, Aqidah Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jamaah, Terjemahan oleh Muhamad Yusuf Harun)

Nama-nama dan sifat-sifat yang khusus bagi Allah azza wajal tidak boleh dikongsi dengan makhluk kerana perkongsian itu bermakna mensyirikkan sifat makhluk dengan sifat Allah azza wajal.
(Rujuk : Sa'id Ibn Ali Al-Qahtani, Syarah Asma" Al-Husna fi Dau' Al-Kitab Wa Al-Sunnah, hal. 51)


Kesimpulannya

Kenapa Selawat syifa tidak boleh diamalkan :

1) Tiada petunjuk daripada sunnah mengenainya

2) Mengandungi kekeliruan pada maknanya yang boleh membawa kepada kesyirikan

3) Kepercayaan selawat syifa mendatangkan mujarat jika diamalkan boleh membawa seseorang kepada kesesatan dalam beramal.

Apa lagi yang boleh kita katakan kepada selawat syifa? Jawapannya, selawat syifa mengandungi unsur syirik iaitu syirik lafzi yang mesti kita hindari dari mengalunkannya. Perkara syirik boleh merosakkan akidah seseorang muslim. Selain itu juga selawat syifa tidak pernah diamalkan oleh golongan salafus soleh. Ikutlah sunnah di dalam beramal untuk memperolehi keberkatan dariNya.

Allahu 'Alam Bissowab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan