19 Ogos 2009

Jom Solat Dhuha



Kelebihan solat dhuha

Solat dhuha merupakan salah satu daripada solat-solat sunat yang amat dituntut. Hukum mengerjakan solat dhuha adalah sunat muakkad(1). Imam Nawawi juga berpendapat hukum solat dhuha adalah sunat muakkad melalui hadis-hadis sahih yang telah sampai kepada kita(2).

Daripada Abu Darda, Rasulullah SAW menganjurkan supaya berpuasa tiga hari di setiap bulan, melakukan solat dhuha dan mengerjakan solat witir sebelum tidur(3).

Banyak kelebihan solat sunat dhuha yang telah diceritakan melalui hadis-hadis sahih. Di antaranya hadis daripada Abu Dzar yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda; setiap sendi kalian mesti bersedekah, setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kepada yang baik adalah sedekah serta melarang kepada keburukan adalah sedekah dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat dhuha(4).


Waktu solat dhuha

Waktu solat dhuha adalah bermula naiknya matahari kira-kira setinggi tombak sehingga sebelum berhentinya matahari dipertengahan langit iaitu sebelum zawal(5). Waktu yang lebih afdhal adalah ketika panas terik(6). Hal ini berdasarkan kepada hadis daripada Zaid Bin Arqam Rasulullah SAW bersabda; solat orang yang banyak bertaubat (awwabin) adalah ketika anak unta merasa kepanasan(7).


Jumlah rakaat solat dhuha

Yang sahih, tidak terdapat batasan jumlah rakaat dalam solat dhuha(8). Hal ini berdasarkan hadis daripada Isteri Rasulullah SAW iaitu Aisyah menceritakan perihal solat dhuha Rasulullah SAW ; Rasulullah SAW biasa mengerjakan solat dhuha empat rakaat dan baginda menambahnya sesuai dengan kehendak Allah Taala(9). Rasulullah SAW pernah melakukan solat dhuha dua rakaat, hal ini diceritakan dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Rasulullah SAW juga pernah melakukan enam rakaat sebagaimana yang diceritakan oleh Jabir yang diriwayatkan oleh Tabarani di dalam Al-Ausath, No. 1066 serta hadis ini turut dinilai sahih oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani.


Nota Kaki :

(1) Majmu’ Fatawa Al-Imam Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz, jld. xi, hlm. 399.
(2) Syarah An-Nawawi ‘Ala Sahih Imam Muslim, jld. V, hlmn. 237.
(3) Hadis riwayat Imam Muslim No. 722.
(4) Hadis riwayat Imam Muslim No. 720.
(5) Panduan Solat Sunah & Solat Khusus, menyempurnakan yang wajib dengan yang sunnah(Edisi Indonesia) oleh Dr. Said Bin Ali Bin Wahaf Al-Qahthani, hlmn. 87.
(6) Majmu’ Fatawa Al-Imam Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz, jld. xi, hlm. 395.
(7) Syarah An-Nawawi ‘Ala Sahih Imam Muslim, jld. vi, hlmn. 276.
(8) Panduan Solat Sunah & Solat Khusus, menyempurnakan yang wajid dengan yang sunah (Edisi Indonesia) oleh Dr. Said Bin Ali Bin Wahaf Al-Qahthani, hlmn. 88.
(9) Hadis riwayat Imam Muslim.