16 September 2009

Indahnya Ramadhan



Bulan ramadhan mempunyai keindahannya yang tersendiri. Keindahan bulan ramadhan hanya boleh dikecapi oleh insan yang berusaha mencari keindahan tersebut. Untuk mencari keindahan-keindahan yang ada di dalam bulan ramadhan mestilah disulam dengan kesungguhan melakukan ibadat puasa. Hanya di bulan ramadhan ibadat puasa wajib dilaksanakan dan semestinya mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Ibadat puasa juga merupakan salah satu daripada rukun-rukun Islam.

Keindahan bulan ramadhan akan muncul pada diri insan yang bertaqwa iaitu takutkan Allah azza wajal. Takut dalam erti kata bersungguh melakukan perintahNya dan bersungguh dalam meningggalkan laranganNya. Dengan ketaqwaanlah seseorang insan itu akan terus dan terus mengejar fadhilat atau kelebihan yang Allah azza wajal sajikan pada bulan ramadhan. Semua insan sedar akan kelebihan bulan ramadhan tapi sayang seribu kali sayang, kesedaran ini tidak diterjemahkan dalam amalan.


Malam Al-Qadr

Malam Al-Qadr adalah ganjaran hebat yang Allah azza wajal hidangkan bagi insan yang cintakanNya. Pada malam ini, Allah azza wajal menurunkan malaikat-malaikat serta melabuhkan keberkatan kepada insan-insan yang sedang khusyuk beribadat kepadaNya. Kemuliaan bulan ini adalah lebih baik daripada seribu bulan. Benarlah janji Allah azza wajal, sebagaimana yang difirmankan didalam Surah Al-Qadr ayat 1 hingga 5 ;

" Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Al-Qadr (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam Al-Qadr (kemuliaan itu). Malam Al-Qadr (kemuliaan) itu lebih baik daripada seribu bulan. Diturunkan malaikat-malaikat dan Ruh dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Kesejahteraan pada malam itu sehingga terbit fajar "

Sungguh beruntung bagi mereka yang dapat merasai malam Al-Qadr. Ketenangan serta kedamaian beribadat pada malam ini pasti mencambahkan rasa cinta kepada Allah azza wajal. Alangkah indahnya berada di sini keberkatan Allah azza wajal pada malam Al-Qadr serta untuk digambarkan dengan kata-kata.


Penurunan Al-Quran

Pada bulan ramadhan juga Allah azza wajal menurunkan Al-Quran sebagai panduan untuk umat manusia. Dengan jelas, ayat pertama Surah Al-Qadr menceritakan peristiwa penurunan Al-Quran pada malam Al-Qadr iaitu malam kemuliaan pada bulan ramadhan.

Benarkah penurunan Al-Quran jatuh pada tarikh 17 ramadhan sebagaimana yang diketahui umum?
Hal ini bila dikaji dengan sumber yang sahih adalah tidak tepat. Penentuan 17 ramadhan sebagai pemulaan turunnya wahyu kepada Rasulullah SAW adalah berdasarkan riwayat daripada Al-Waqidi (Muhammad Bin Umar Bin Waqid al-Aslami). Mengikut ulama Al-Jarh wa Al-Ta’dil, Al-Waqidi merupakan seorang perawi lemah dan tidak diterima periwayatannya (Rujuk Al-Khatib Al-Baghdadi, Tarikh Baghdad. Muhammad Bin Ahmad Bin Uthman Al-Zahabi, Siyar A’lam Al-Nubala’. Ibn Abi Hatim, Al-Jarh wa Al-Ta’dil).

Berbahasan mengenai tarikh penurunan Al-Quran ini telah dikupas dengan ilmiah oleh Dr. Ahmad Najib Abdullah iaitu pensyarah Universiti Malaya, Nilam Puri. Menurut beliau tarikh yang tepat berdasarkan sumber yang sahih mengenai tarikh penurunan Al-Quran adalah pada tanggal 24 ramadhan berdasarkan hadis sahih riwayat daripada Wathilah Bin Al-Asqa’. As-Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani juga memilih tarikh 24 ramadhan sebagai tarikh permulaan penurunan Al-Quran berdasar hadis sahih riwayat daripada Wathilah Bin Al-Asqa’. Kesimpulannya, tarikh yang tepat dan sahih permulaan penurunan Al-Quran adalah pada 24 ramadhan, juga terdapat di dalam kitab tafsir yang muktabar karangan Imam Al-Hafiz Ibn Kathir, Imam At-Thabari dan Imam Qurtubi.


Ganjaran keampunan

Ibadat puasa yang dilakukan dengan mengikut petunjuk Rasulullah SAW pastinya memberi kesan yang maksimum. Allah azza wajal juga memberi jaminan keampunan dosa bagi orang yang berpuasa. Sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ;

" Sesiapa yang berpuasa pada Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan, diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu "


Dibuka pintu Syurga dan ditutup pintu Neraka serta dibelenggu syaitan

Apabila tiba bulan ramadhan maka Allah azza wajal akan membuka pintu Syurga dan menutup pintu Neraka untuk memberi rahmatNya di bulan ramadhan. Peluang yang diberikan oleh Allah azza wajal ini tidak patut sama sekali disia-siakan oleh setiap manusia. Disaat ini jugalah Allah azza wajal akan membelenggu syaitan yang sering menyesatkan manusia. Tidak lagi kedengaran bisikan serta ajakan syaitan untuk melakukan kemaksiatan. Inilah peluang untuk kita melakukan ibadah disetiap detik bulan ramadhan tanpa gangguan syaitan.

Hal di atas telah diceritakan oleh Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim ;

" Apabila tiba bulan ramadhan akan dibuka pintu Syurga dan ditutup pintu Neraka serta akan dibelenggu syaitan "


Ganjaran puasa dibalas Khas

Ganjaran orang yang melakukan ibadat puasa akan dibalas khas oleh Allah azza wajal tidak seperti ibadat-ibadat yang lain. Sudah semestinya ibadat puasa mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Imam Bukhari dan Imam Muslim telah meriwayatkan hadis ;

" Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa, puasa adalah untuk Aku, dan Aku yang akan memberi ganjaran untuknya "


Dua kegembiraan

Bagi orang yang melakukan ibadat puasa akan mendapat dua kegembiraan. Kegembiraan pertama dapat merasai nikmat ketika berbuka puasa. Di saat inilah kita dapat merasakan betapa bernilainya rezeki yang Allah azza wajal kurniakan walau pun seteguk air.

Kegembiraan kedua adalah disaat kita bertemu dengan Allah azza wajal nanti. Ketika itu kita akan bergembira bertemu Allah azza wajal bersama ibadat puasa yang telah kita lakukan. Hal ini telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim ;

" Dua kegembiraan yang dia akan bergembira dengan kedua-duanya, apabila dia berbuka puasa dia akan bergembira dan apabila dia bertemu dengan Tuhannya dia bergembira dengan puasanya "

Semoga keindahan-keindahan yang ada pada bulan ramadhan dapat kita rasai dan menambahkan lagi ketaqwaan kita melalui ibadat puasa yang dilaksanakan. Sebagaiman Firman Allah azza dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 183 ;

" Wahai orang-orang yang berimam, diwajibkan ke atas kamu semua berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan kepada orang-orang yang sebelum daripada kamu, mudah-mudahan kamu semua bertaqwa "