17 Mac 2009

Mencintai Ilmu Hadith




Semestinya di dalam setiap diri pencinta ilmu agama memiliki sifat amanah di dalam mengambil sesuatu hadith dengan meletakkan riwayatnya. Malangnya hal sedemikian semakin dilupakan dan ditinggalkan. Apa puncanya? tidak lain, wujudnya suatu sikap bermudah-mudahan dan tidak suka mengkaji serta hanya menerima secara membabi buta sahaja sesuatu hadith tersebut. Sikap inilah yang menodai kesucian ilmu hadith. lantas, kita memerlukan suatu anjakan minda dan sikap di dalam memetik sesuatu hadith.

Dewasa ini, makin banyak buku-buku serta artikel yang membicara sesuatu permasalahan tidak menitikberatkan sumber yang sohih. Begitu juga dengan penceramah agama, mencampurgaulkan di antara fakta yang benar dan palsu. Sebagai contoh, bila tiba bulan ramadhan maka banyaklah hadis yang daif disebarkan. Tidak kurang juga hadith palsu yang menceritakan kelebihan setiap solat teraweh berjemaah.

Tidak kurang juga, kitab-kitab yang di ajar di surau dan masjid tidak diselidiki kesohihan hadis di dalamnya. Kitab yang amat masyhur dan sering dikuliahkan di surau atau masjid ialah kitab Tanbih Al-Ghafilin karangan Syeikh Samarqandi (moga Allah Taala mengampunkan dosanya) dan kitab Bustan Al-'Arifin terdapat hadis-hadis palsu serta israiliyyat di dalamnya (Rujuk: Al-Washit Fi 'Ulum Wa Musthalah Al-Hadith karangan Syeikh Muhammad Muhammad Abu Syahbah). Sikap terima tanpa mengkaji banyak mengundang keburukan di dalam beramal. Hakikatnya, sikap inilah yang popular dikalangan umat Islam di Malaysia.

Terdapat juga cerita palsu yang terdapat di dalam kitab Berzanji yang dikarang oleh Jaafar Al-Barzanji (moga Allah Taala mengampunkan dosanya). Kitab ini menceritakan telah hadir Asiah (isteri Firaun) dan Maryam (ibu Nabi Isa) dalam kalangan wanita dari syurga pada malam kelahiran Nabi Muhammad (saw). Jelas, hal sedemikian tidak terdapat hadith sohih ataupun riwayat yang sohih menceritakannya. (Rujuk: menangkis pencemahan terhadap agama serta tokoh-tokohnya oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin)

Jika diselidiki, banyak lagi hadith-hadith daif dan palsu serta fakta-fakta bohong yang masih bertebaran di dalam buku-buku agama di Malaysia. Bertolak dari sinilah kita memerlukan sikap suka mengkaji di dalam sesuatu fakta. Kita juga mesti amanah di dalam memetik sesuatu hadis dengan meletakkan riwayatnya kerana kitalah yang meneruskan sunnah yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad (saw).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan