21 Januari 2010

10 Sunnah Yang Sering Diabaikan




1) Sujud syukur ketika mendapat nikmat

Abu Bakrah mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW, sesungguhnya baginda jika mendapat sesuatu yang mengembirakan atau disampaikan khabar gembira maka baginda akan bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah.
(Hadis riwayat Imam Ahmad, Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah)


2) Imam solat memerintahkan makmum meluruskan dan merapatkan shaf

Anas bin Malik berkata, setelah iqamah dilaungkan, maka Rasulullah SAW menghadap kepada kami kemudian baginda bersabda, "luruskan shaf kalian dan rapatkan, sesungguhnya aku bisa melihat kalian daripada belakangku".
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


3) Takbir dan tasbih ketika takjub atau mengingkari sesuatu

Ummu Salamah mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW bangun kemudian mengucapkan “Subhanallah betapa hebat yang Allah Taala turunkan daripada harta benda dunia ini dan betapa berat fitnah cubaan yang Allah Taala turunkan".
(Hadis riwayat Imam Bukhari)

Abu Sa'id Al-Kudri mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "sungguh aku berharap agar kalian semua menjadi seperempat penghuni syurga", maka kami bertakbir. Kemudian baginda bersabda, "sepertiga penghuni syurga", maka kami bertakbir lagi. Kemudian baginda bersabda, "separuh penghuni syurga", maka kami bertakbir lagi.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


4) Bila malam menjelang

Jabir bin Abdillah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "jika malam telah tiba maka tahanlah anak-anak keluar dari rumah kerana syaitan sedang bertebaran disaat itu, setelah lansung beberapa saat lamanya biarkan mereka bermain, tutuplah semua pintu dengan menyebut nama Allah kerana syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup dan tutuplah tempat minum kalian dengan menyebut nama Allah serta tutupilah wadah-wadah kalian dengan menyebut nama Allah sekalipun dengan hanya meletakkan sesuatu di atasnya".
(Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah)


5) Adat-adat memakai sandal

Abu Hurairah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "jika salah seorang daripada kalian memakai sandal maka mulailah dengan kaki kanan dan jika ingin menanggalkannya maka mulakan dengan sebelah kiri. Hendaklah bahagian kanan paling awal dimulakan dan paling akhir dilepaskan".
(Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Abu Daud)


6) Berubat dengan madu

Daripada perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, padanya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia.
(Surah An-Nahlu, ayat ke 69)


7) Tidak mencela makanan

Abu Hurairah mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah mencela makanan, jika berselera baginda memakannya dan jika tidak baginda akan meninggalkannya.
(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


8) Berubat dengan lalat

Abu Hurairah mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Jika lalat jatuh pada wadah kalian maka benamkan lalat tersebut kemudian dibuangkannya kerana pada salah satu sayapnya ada ubat dan pada sayap yang lain ada penyakit".
(Hadis riwayat Imam Bukhari, Ahmad dan Ibnu Majah)


9) Menjilat jari jemari setelah makan

Ka'ab bin Malik mengatakan bahawa Rasulullah SAW makan dengan tiga jari dan baginda menjilat jarinya sebelum membersihkannya.
(Hadis riwayat Imam Muslim dan Abu Daud)


10) Adat-adat seorang penghutang

Abu Rafi' mengatakan bahawa Rasulullah SAW meminjam unta daripada seseorang lalu ada seseorang yang datang menyerahkan unta sedekah, baginda memerintahkan Abu Rafi’ untuk melunaskan hutang unta tadi, lalu berkata Abu Rafi’, "aku tidak menemui unta yang seusia tujuh tahun". Baginda bersabda, "berikan saja kepadanya, sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah yang paling baik dalam membayar hutang".
(Hadis riwayat Imam Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan An-Nasai)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan