08 Jun 2009

Petua Daripada Sunnah Menghindari Gangguan Syaitan




Permusuhan manusia dengan golongan jin ataupun syaitan secara jelas dan terperinci telah diingatkan oleh Allah azza wajal di dalam Al-Quran. Namun, masih ramai lagi manusia yang memandang sebelah mata terhadap perkara ini. Sikap tamakkan dunia, gilakan pangkat serta leka mengejar harta benda telah membutakan mata hati mereka daripada mengingati Allah azza wajal. semua ini adalah tipu muslihat syaitan terhadap manusia.

Syaitan juga menggangu dengan menyerang masuk ke dalam tubuh badan manusia serta berupaya memudharatkannya dengan izin Allah azza wajal. Semestinya kita wajib mengetahui cara-cara untuk mengelak daripada gangguan syaitan.
Di sini, penulis ingin kongsikan beberapa petua daripada ajaran sunnah di dalam menghindari daripada gangguan syaitan;


1) Membaca Basmalah dalam setiap perkara yang dilakukan

Rasulullah SAW bersabda, "Janganlah menyebut “Celakalah syaitan!” kerana apabila engkau mengatakannya, syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata “Demi kekuatanku!” Sebaliknya sebutlah “Bismillah!” kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil sehingga sekecil lalat"
(Hadis Riwayat Abu Daud serta dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud, No: 4982)


2) Membaca Isti’azah apabila diganggu syaitan

"Dan jika engkau ditimpa ganguan syaitan maka berlindunglah kepada Allah Taala, sesungguhnya Allah Taala maha mendengar lagi maha mengetahui"
(Surah Al-A’raf, ayat ke 200)


3) Membaca Ayat Kursi

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, "syaitan pernah berkata kepadanya, bacalah Ayat Kursi sebelum tidur nescaya Allah Taala mendatangkan penjaga kepadanya dan syaitan tidak dapat mendekatinya sehingga waktu pagi"
(Hadis Riwayat Imam Bukhari, No. 3275)


4) Membaca Surah Al-Baqarah

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Janganlah menjadikan rumah kalian seperti kawasan perkuburan, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya Surah Al-Baqarah"
(Riwayat Imam Muslim, No. 780)


5) Membaca Surah Al-Mu’awizatain

"Rasulullah SAW memohon perlindungan daripada jin dan kejahatan manusia (‘ain) , sehingga diturunkan Surah Al-Mu’awizatain maka Baginda pun mengamalkannya serta meninggalkan bacaan yang lain"
(Hadis Riwayat Nasai, No. 5494 dan Ibn Majah, No. 3511 serta dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Al-Jami’, No. 4902)


6) Membaca dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah iaitu ayat 285 dan ayat 286

Daripada Abu Mas’ud Al-Ansari, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah azza wajal menulis satu kitab yang dianggarkan dua ribu tahun sebelum menciptakan langit dan bumi serta dua ayat daripadanya diturunkan ke bumi sebagai penutup Surah Al-Baqarah, jika kedua-dua ayat itu dibaca selama tiga malam di dalam sebuah rumah pasti syaitan tidak akan mendekatinya"
(Hadis Riwayat Turmuzi, No. 2882 serta dinilai Sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Al-Jami’, No. 1799)


7) Membaca “La ilaha illallahu wahdahu la syarikalah lahul mulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kulli syai in qadir”

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang membaca “La ilaha illallahu wahdahu la syarikalah lahul mulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kulli syai in qadir” sebanyak sertaus kali setiap hari, pahalanya adalah menyamai dengan pahala orang yang memerdekakan sepuluh orang hamba dan ditulis baginya seratus kali ganda kebaikan serta dihapuskan seratus kejahatan dan juga terpelihara daripada godaan syaitan pada hari tersebut hingga ke malamnya dan tidak seorang pun mendapat balasan yang lebih baik daripada apa yang disebutkan ini melainkan memperbanyakkan amalan zikir yang disebutkan ini"
(Hadis Riwayat Imam Bukhari, No. 3119 dan Imam Muslim, No. 2691)


8) Memperbanyakkan amalan zikir kepada Allah Taala

Daripada Al-Harith Al-Asy’ari, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah Taala menyuruh Yahya Bin Zakaria (a.s) mengamalkan lima kalimah dan Bani Israel pun diperintahkan menamalkannya. Oleh itu, aku menyuruh kamu supaya sentiasa berzikir kepada Allah Taala, sesungguhnya perumpamaan orang yang berzikir seperti seseorang lelaki yang dikejar musuh sehingga dia berjaya masuk ke dalam benteng yang kuat, dengan itu dia telah berjaya menyelamatkan dirinya. Begitu juga perumpamaan seseorang yang tidak dapat membentengi dirinya daripada syaitan selain berzikir kepada Allah azza wajal"
(Hadis Riwayat Turmuzi, No. 2863 serta dinilai Sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Al-Jami’, No. 1724)


9) Laungan azan
Abu Hurairah menceritakan daripada Rasulullah SAW, "sesungguhnya apabila laungan azan dikumandangkan maka syaitan akan melarikan diri dengan pantas"
(Hadis Riwayat Imam Muslim, No. 389)

Petua yang paling utama untuk menghindari daripada gangguan syaitan ialah bersungguh-sungguh mentaati segala suruhan Allah Taala serta berusaha sepenuh upaya menjauhi laranganNya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan